YayBlogger.com
BLOGGER TEMPLATES

Thursday, 12 September 2013

why???? pendidikan penting~

Islam amat mementingkan soal pendidikan dan penguasaan ilmu pengetahuan yang sempurna. Ini kerana pendidikan merupakan salah satu tunjang utama dalam pembangunan sosial negara. Pengabaian dalam soal pendidikan bererti mengabaikan kebajikan masyarakat dan menjejaskan pembangunan sesebuah negara. Kepentingan pendidikan kepada pembangunan sesebuah negara dapat dilihat dengan peruntukan perbelanjaan negara yang besar pada setiap tahun untuk tujuan membangunkan sistem pendidikan yang diperlukan oleh masyarakat. Tindakan ini dianggap sebagai satu pelaburan yang besar untuk menjamin kemajuan yang berterusan dan bagi membangunkan modal insan ‘minda kelas pertama' pada masa akan datang. Kita sedia maklum bahawa menuntut ilmu adalah satu fardu (wajib) terhadap seseorang insan. Maka, dengan adanya pendidikan ini, ia mampu mengeluarkan seseorang atau sesebuah keluarga daripada kepompong kemiskinan. Oleh itu, untuk keluar daripada belenggu kemiskinan, maka pendidikan yang dapat menentukan sejauhmanakah seseorang itu boleh pergi lebih jauh lagi. Dengan kata lain, semakin tinggi pengetahuan pendidikan yang dicapai, semakin terbuka luas peluang pasaran untuk menjawat pelbagai jawatan dan mendapat pulangan yang lumayan. Namun begitu, kepentingan pendidikan ini tidak harus dilihat dari segi matlamat ekonomi sahaja, tetapi ia berkaitan dengan melahirkan seorang insan yang beriman, bertanggungjawb, amanah, mempunyai akhlak atau moral yang tinggi serta matang dalam menguruskan kehidupan diri dan keluarga dengan lebih sempurna. Hakikatnya, pendidikan merupakan satu pra-syarat kepada kemajuan kerana pendidikan dikaitkan dengan penyebaran dan penghasilan ilmu-ilmu pengetahuan yang dapat membantu manusia membangunkan kehidupannya dengan lebih baik. Namun demikian, berdasarkan pengalaman negara-negara yang telah pun lebih dahulu maju dari segi sistem pendidikannya wujud beberapa masalah. Pertamanya ialah berkaitan dengan muncul satu keadaan di mana para pelajar hanya belajar untuk lulus dalam peperiksaan. Ini menyebabkan fokus utama mereka dan juga penekanan ibubapa kepada pencapaian di dalam peperiksaan semata-mata tanpa memberi perhatian kepada pembinaan peribadi seseorang pelajar itu. Ukuran kejayaan seseorang pelajar itu bukannya hanya berdasarkan kepada pencapaian akademik yang cemerlang semata-mata. Natijahnya lahirlah individu-individu yang tidak seimbang disebabkan penekanan pendidikan yang juga tidak seimbang. Dengan pendidikan yang tidak seimbang ini mana mungkin negara kita dapat mengecap pembangunan yang mampan. Sebagai contoh, penghasilan kualiti graduan akhir-akhir ini didapati tidak seimbang untuk keperluan pekerjaan bagi membangukan negara. Masalah ini menyebabkan negara kita mengalami kekurangan pekerja mahir di dalam bidang yang benar-benar dikehendaki oleh negara untuk program-program pembangunan. Malah, apa yang kerap berlaku ialah ramai graduan yang dihasilkan adalah terdiri dari bidang-bidang yang tidak diperlukan atau pun yang sudah berlebihan dari segi keperluannya. Keadaan ini juga akan membantutkan pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara. Justeru itu, kepentingan ilmu pengetahuan yang seimbang dari sudut rohani dan kemahiran kini menjadi satu keperluan yang amat mustahak bagi sesebuah negara. Tanpa ilmu pengetahuan yang seimbang, keupayan untuk memajukan negara adalah amat sukar malahan akan menjejaskan apa jua rancangan dan kemajuan yang telah direncanakan. Begitulah pentingnya ilmu pengetahuan, tanpanya siapalah kita. Dunia kini lebih mengutamakan ilmu pengetahuan. Jika bangsa kita tidak berilmu kita akan jauh ketinggalan, malah akan ditinggalkan dalam usaha untuk memaju dan menjana pembangunan negara. Apakah kita mahu senario ini berlaku kepada bangsa dan negara kita? Rasanya, kita tidak mahu tertinggal dalam apa jua bidang ilmu. Kerana kita mahu bangsa kita menjadi besar dan dihormati. Kita mahu bangsa kita boleh mencetuskan idea-idea yang besar, kita tidak mahu hanya menjadi sebagai pemerhati, pengguna dan ‘pak turut' semata-mata tetapi kita lebih rela menjadi pencetus keilmuan di dunia ini. Begitulah sebenarnya harapan menggunung yang kita idam-idamkan untuk menjadi bangsa yang ‘hebat' dan ‘besar'. Walau bagaimanapun, bagi merealisasikannya kita memerlukan komitmen semua pihak. Kita maklum bahawa pada tahun ini Negara kita bakal menyambut 50 tahun kemerdekaan. Apakah pada usia 50 tahun ini bangsa kita masih lagi berada di takuk yang lama, membiarkan bangsa-bangsa asing memonopoli bidang yang sepatutnya bangsa kita sendiri yang mengunggulinya. Sebenarnya dalam mengejar pembangunan ini, selain pendidikan, sikap bangsa kita juga perlu berubah. Masa untuk menunggu peluang datang bergolek ke atas riba sudah lama berlalu. Setiap orang perlulah mengintai peluang kekosongan yang ada dalam membangunakan segala projek yang telah direncanakan. Baru-baru ini terdapat beberapa projek mega untuk pembangunan negara telah dilancarkan, antaranya adalah Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). Sekilas pandang, projek-projek ini mencerminkan satu kekuatan ekonomi jangka panjang yang terancang untuk pembangunan negara. Jadi persoalannya kini bagaimanakah peluang ini dapat diambil oleh bangsa kita jika mereka masih ketinggalan dalam aspek pendidikan? Terdapat segelintirnya yang masih lagi dilihat malas, membuang masa menjadi hanya ‘pak turut' dalam gejala sosial yang negatif, dan bagaimana pula kemajuan negara hendak dicapai dalam masa yang telah ditetapkan? Jika peluang yang ada, tidak direbut oleh bangsa kita, di manakah letaknya bangsa kita pada masa akan datang? Itu yang perlu difirkan. Justeru kita merasakan, pendidikan yang sempurna itu penting dalam menerajui sesebuah pembangunan negara. Kita tidak mahu pembangunan yang dirancang ini semata-mata hanya menampilkan peluang pekerjaan kepada bangsa lain atau warga asing yang sentiasa mengintai peluang yang ada. Kita mahu bangsa Melayu itu sendiri memanfaatkan ilmu pengetahuan dalam menjayakan projek yang ada seterusnnya mengubah nasib hidup mereka. Apa yang pasti, ilmu itu amatlah penting untuk diteroka dan didalami. Maksud mendalaminya bukan lagi secara akademik ataupun ilmiah tetapi lebih menjurus kepada penghayatan ilmu itu sendiri. Memang benar kita banyak mempunyai para ilmuan yang dilahirkan oleh beberapa universiti, tetapi itu bukan bermakna kita mempunyai segala-galanya. Kini kita memerlukan mereka yang mempunyai pelbagai cabang ilmu. Terutama ilmu kemahiran yang pelbagai bagi kepentingan negara di masa mendatang. Justeru itu, kepentingan pendidikan atau ilmu pengetahuan itu sangatlah penting untuk diberikan ruang yang selayaknya dalam kita sama-sama menyambut 50 tahun kemerdekaan. Moga-moga dengan berbekalkan ilmu pendidikan yang seimbang, ia mampu menjadi wadah ke arah kecemerlangan ummah dan negara.

kepentingan masa ~perspektif ISLAM~

Apa itu pengurusan masa dari perspektif Islam??? islam adalah Ad-Deen… lengkap, menyeluruh dan wajib dijadikan panduan dalam kehidupan dari segenap aspek termasuklah pengurusan masa. Ingatan Allah Ta’ala Buat Seluruh Manusia Allah s.w.t telah mengingatkan manusia tentang kepentingan masa dan ketelitian dalam menguruskannya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Asr (Masa) yang bermaksud : “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menatapi kesabaran.” Image Ayat di atas menggambarkan bahawa manusia yang tidak memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mentaati perintah Allah Ta’ala & Rasul-Nya adalah dari golongan yang rugi. Golongan manusia yang turut dianggap rugi adalah kelompok manusia yang membiarkan masa berlalu tanpa memanfaatkannya untuk saling menasihati dan membimbing manusia yang lain untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup (way of life). Golongan yang rugi juga adalah mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah Ta’ala kerana lalai, kurang ilmu dan leka dengan nikmat kehidupan dunia yang sementara sifatnya. Rugi di dunia kerana masa tetap berlalu dan tidak dapat diputarkan kembali… Rugi di saat sakaratul maut di kerongkong kerana pintu taubat sudah tertutup untuk selama-lamanya… Rugi di akhirat kerana hari pembalasan tetap akan ditempuh tanpa boleh berpatah balik lagi… Justeru, bagaimanakah kaedah terbaik memanfaatkan waktu dengan sebaiknya dari sudut pandangan Islam? Hadis Rasulullah Sebagai Ingatan Rasulullah s.a.w telah menitipkan pesanannya buat para sahabat dan umat Islam zaman-berzaman melalui hadis yang diriwayatkan oleh At-Timidzi dan Muslim: “Dari Amru bin Maimun r.a pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah menyampaikan sabdanya yang bermaksud : Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu Masa mudamu sebalum datangnya hari tua, Masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit, Masa kayamu sebelum datangnya masa miskin, Masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk, Masa hidup sebelum datangnya malaikat mencabut nyawa. Maksud tersirat hadis yang amat popular ini, mengingatkan umat Islam agar tidak mengamalkan budaya suka menangguh terutama dalam perkara-perkara yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat.Image Jangan bertangguh dalam melaksanakan hak, amanah dan tanggungjawab… Jangan bertangguh dalam melaksanakan amal ibadat… Jangan bertangguh dalam menyebarkan syiar Islam… Jangan bertangguh dalam soal memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan Islam… Jangan bertangguh dalam menegakkan hukum syarak… Jangan bertangguh dalam menyempurnakan tugasan yang diamanahkan dalam pekerjaan… Sabda Rasulullah s.a.w : “Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Fiqh Awlawiyyat Bagi Pengurusan Masa Zaman Moden Kehidupan di zaman moden ini memaksa manusia bertindak dengan pantas, seiring dengan cepatnya peredaran waktu. Umat Islam harus tidak ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan ini, jika tidak mahu dilihat sebagai umat yang mundur. Kualiti seseorang dalam dunia pekerjaan hari ini diukur dengan kemampuan seseorang untuk bertindak pantas, cekap dan mampu melaksanakan pelbagai peranan dan fungsi. Keadaan ini menjadikan manusia semakin sibuk. Di sebalik kesibukan ini, setiap hari manusia menghadapi dilemma, banyak perkara untuk dipilih, ada perkara yang harus dilepaskan atau ditangguhkan ke tepi buat sementara waktu. Apakah pendekatan yang disarankan oleh Islam untuk menghadapi situasi sebegini? Jawapannya terdapat dalam pengurusan masa menurut konsep ‘Fiqh Awlawiyyat’. Apakah yang dimaksudkan dengan Fiqh Awlawiyyat? Ulama tersohor dunia Islam masakini, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi mentakrifkan Fiqh Awlawiyyat sebagai: ‘Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudian apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar dan membesarkan perkara yang kecil’. (Terjemahan dari: diniahfalahiah.blogspot.com) Bagaimanakah konsep Fiqh Awlawiyyat digunapakai? Dari sudut pengurusan masa, Fiqh Awlawiyyat menekankan konsep menetapkan keutamaan (prioritize) dalam membuat perancangan kerja. Berdasarkan Fiqh Awlawiyyat, setiap tugas boleh diukur keutamaannya berdasarkan tiga (3) perkara berikut: Ad-Dharuriyyat – perkara-perkara asas yang mutlak dan penting (makanan, pakaian, tempat tinggal) Al-Hajjiyyat – perkara-perkara yang penting dan tanpanya ia menimbulkan kesukaran dan menyukarkan sesuatu urusan. At-Tahsiniyyat – perkara-perkara yang dianggap perkara yang mencantikkan (luxury) dan memberikan nilai tambah yang menyumbang kepada kepuasan. Dalam pengurusan masa, seorang pekerja boleh menyusun tugasan hariannya mengikut keutamaan. Contohnya (things to do today) dengan mengasingkannya kepada tiga (3) kategori utama seperti di atas: Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai Ad-Dharuriyyat – ia adalah genting dan penting (crucial & urgent) serta perlu dilaksanakan dengan segera. Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai Al-Hajjiyyat – ia adalah perkara yang penting dan perlukan perhatian (important & need attention). Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai At-Tahsiniyyat – ia adalah perkara yang tidak utama dan tidak segera (less important & less urgent). Penyusunan tugasan mengikut Fiqh Awlawiyyat dapat membantu anda menyusun tugasan dengan lebih mudah. Ad-Dharuriyyat menjurus kepada tugasan utama dan kritikal yang berkaitan dengan fungsi utama organisasi (core business), dasar dan tugasan yang berkaitan kelangsungan organisasi harus diberikan keutamaan untuk disempurnakan. Al-Hajjiyyat pula adalah tugasan yang melibatkan penambahbaikan berterusan, tindakan pembetulan hasil dari laporan auditan tugas mahupun soal-selidik kepuasan pelanggan dan penjadualan tugasan berkala. Al-Tahsiniyyat boleh dikategorikan sebagai tugasan dan perkara sampingan seperti keceriaan dan hiasan pejabat, kursus bagi peningkatan personaliti, keselesaan ruang bekerja dan seumpama dengannya. Image Dapat kita simpulkan bahawa, pengurusan masa melalui kaedah Islam amat menitikberatkan perkara-perkara yang utama dan mengenepikan perkara-perkara yang remeh-temeh. Penyaringan ini amat perlu kerana dengan peredaran masa yang pantas memerlukan manusia untuk menyesuaikan diri mengikut perubahan masa dan peredaran zaman. Sekiranya umat Islam hanya berlegar-legar bagi menyelesaikan perkara-perkara yang bersifat At-Tahsiniyyat, maka umat Islam akan ketinggalan malah bergerak semakin mundur kebelakang dan bukannya melangkah gagah ke hadapan.